SABDA Rasullullah SAW, "Solat itu adalah cahaya iaitu apabila telah cukup syarat sebagai suatu solat yang sempurna penuh khusyuk, khudhuk dan ihsan."
Ini bermaksud, zat solat itu sendiri sebagai cahaya yang akan menerangi perjalanan seorang mukmin, sesuai dengan suatu riwayat lain yang bermaksud: "Solat itu adalah cahaya orang mukmin. Cahaya solat itu akan kelihatan pada wajah orang yang bersolat. Lebih banyak ibadat solatnya, lebih nyatalah cahaya itu diwajahnya."
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Dijadikan cahaya mataku di dalam solat." Maksudnya cahaya solat itu akan timbul di wajah seorang setiap kali ia bersolat. Semakin banyak ia mengerjakannya, semakin timbullah cahaya solat itu. Hadis lain bermaksud: "Gembirakanlah hati orang yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid dengan cahaya yang terang-benderang kelak di hari kiamat."
Cahaya yang terang-benderang yang disebutkan oleh hadis tadi ialah cahaya solat yang akan menerangi perjalanannya di hari kiamat, iaitu seseorang itu amat memerlukan kepada cahaya seumpama itu. Ada suatu riwayat mengatakan orang yang lapar itu boleh kenyang. Orang yang
dahaga boleh puas minum, tetapi aku tidak pernah puas daripada mencintai solat. Kerana itulah Siti Aisyah ketika menceritakan tentang solat Rasulullah berkata: "Baginda bersolat tidak kenal penat atau bosan, sehingga tumit kakinya luka-luka. Apabila ditanya oleh Siti Aisyah, mengapa engkau membebankan dirimu bersolat hingga begitu banyak? Bukankah engkau telah diampunkan oleh Allah akan dosa-dosamu yang terdahulu dan yang terkemudian? Baginda menjawab: "Kalau sudah
begitu, bukankah patut aku bersyukur kepadaNya."
Mengenai solat ini, ada disebutkan suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Ibn Habban: "Sesiapa yang memelihara solat itu, nescayalah ia akan menjadi cahaya, pendinding dan penyelamat baginya di hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, nescayalah dia tidak ada cahaya, pendinding dan penyelamat."
Suatu hadis bermaksud: "Jika seseorang hamba memelihara solat, iaitu dengan menyempurnakan wuduk, rukuk dan sujudnya serta bacaannya, nescaya solat itu akan berkata kepadanya, "Moga Allah akan memelihara engkau sebagaimana engkau memeliharaku."" Maka solat itu akan naik ke atas langit diiringi suatu cahaya, sehingga ia hampir ke sisi Allah serta mendapat keredhaanNya, lalu solat itupun memberikan syafaat kepada tuannya."
Begitu besar erti solat itu kepada umat Islam. Sebab ia akan membimbing manusia ke jalan benar yang diredhai Allah. Di samping itu, ia akan menahan kita daripada mengerjakan sesuatu yang dilarang oleh Allah, sesuai dengan firmanNya yang bermaksud, "Dan dirikanlah solat sesungguhnya solat itu akan melarang perbuatan keji dan mungkar."
(S.Al-Ankabut:45)
Jika seseorang itu telah menunaikan solatnya menurut cara yang betul dan telah menyerahkan dirinya kepada Allah, nescaya solat itu akan memeliharanya daripada segala rupa kejahatan dan kekotoran serta menahannya daripada memberanikan diri untuk berbuat sesuatu perkara yang keji di dalam kaca mata syariat Islam. Kalau seseorang itu telah mencapai darjat ini, tentulah cahaya iman dan dosa serta suci daripada maksiat. Bukankah satu solat kepada solat yang lain itu akan
menghapuskan dosa dan salah antara keduanya. Kalau seseorang itu dapat membiasakan dirinya cara yang seumpama ini, lama-kelamaan kesalahannya akan berkurangan dan akhirnya tidak ada sama sekali. Ketika itu dia akan dihitung antara orang-orang yang dekat kepada Allah atau para
muqarrabin yang disebutkan Allah sebagai orang yang tiada merasa takut dan tidak pula menanggung dukacita. Yang demikian itu ialah disebabkan cahaya solat yang telah dilengkapi oleh Allah kepada diri mereka, sehingga mereka tiada merasa bimbang atau takut lagi.