5 jari

·

Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan disebalik jari yang lima.

Cuba perhatikan perlahan-lahan jari kita. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Bukankah ia membayangkan kewajipan solat lima waktu?Jangan diabaikan peringatan itu. Jika diabaikan seolah-olah kita kehilangan salah satu jari. Pastinya kehilangan itu menjadikan kita tidak sempurna dan banyak nikmat yang terlepas untuk dinikmati.

Jari Kelingking

Bermula dari jari kelingking yang kecil dan kerdil. Ia memberitahu kita bahawa manusia atau apa sahaja makhluk harus bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insani dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan harus bermula daripada kecil. Saat ini ia mengingatkan kita pada usia kanak-kanak. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang melarat di masa hadapan kelak.


Jari Manis

Pergi pula kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi apabila disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tidak terkira.Ketika ini kita di alam remaja. Awas! Di usia ini kita sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan takwa menunjuk jalan kebenaran. Hari itu, kita sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil kelak. Persoalannya sekarang, adakah kita ini benar-benar bertanggungjawab? Atau sudahkah kita mengenali tanggungjawab? Atau berpura-pura tidak tahu tentang tanggungjawab? Atau memilih tidak mahu tahu langsung tentang tanggungjawab?

Jari Hantu

Kemudian naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja mula ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat 30-an ini, kebanyakkan dari kita telah mempunyai personaliti dan status tersendiri, dengan ekonomi yang yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak “hantu pengacau” yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi, lantas akan terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Jari Telunjuk

Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan keEsaan Allah s.w.t ketika bersolat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru, pembimbing yang kaya dengan idea bernas dengan minda yang hebat.

Jari Ibu

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan menafsir pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa “cap jempol” atau cap jari. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Dengari nasihat mereka. Kemudian timbang-tara pendapat mereka. Sekiranya ia sejajar dengan syariat dan tidak menyimpang dari asas keimanan, maka patuhilah ia.Nasihat mereka barangkali amat berguna. Dengan nasihat itu di belakang hari nanti, kita akan berasa bangga dan berkata “good” atau “yes” sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas. Maka itulah rahsia kejayaan kita. Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda kelima-limanya.

Renung dan fikirkan dalam-dalam.“Di manakah kita?” dan “Siapakah kita?”"


ShoutMix chat widget

Masa